JULAI 2021

Dasar Kerajaan GPS Berpandangan Jauh Demi Kejayaan Ekonomi, Rakyat


KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa memberi perhatian kepada dasar berpandangan jauh bagi memastikan kejayaan ekonomi di negeri ini pada masa hadapan.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, keutamaan kerajaan buat masa ini ialah menetapkan dasar langkah jangka panjang bagi memerangi penularan jangkitan Covid-19 dengan mempercepatkan program pemberian vaksin kepada rakyat. 

Bagaimanapun katanya, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan hanyalah sebahagian dari langkah jangka pendek dengan kesan yang tidak kekal.

"Alhamdullilah, menerusi program pemberian vaksin yang mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, lebih 70 peratus rakyat Sarawak sudah menerima vaksin dos pertama dan lebih 40 peratus pula sudah menerima dos kedua setakat ini," katanya ketika merasmikan Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2021 di sini, hari ini.

Abang Johari menambah, antara langkah jangka panjang lain yang dilakukan ialah melaksanakan pelbagai projek infrastruktur seperti kemudahan jalan raya, jambatan, pelabuhan serta infrastruktur internet.

Katanya, tanpa kemudahan infrastruktur terkini dan efisien, ekonomi Sarawak tidak akan mampu untuk bersaing dan melangkah ke era ekonomi yang lebih gemilang dengan pantas.

"Program pembangunan infrastruktur turut melibatkan pembinaan Jalan Utama Kedua, Jalan Raya Pesisir Pantai dan 11 jambatan merentasi sungai-sungai yang besar dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM11 bilion.

"Selain itu, ia turut melibatkan kawasan pedalaman seperti di kawasan Hulu Rajang,

kawasan tanah tinggi dan kawasan utara Sarawak yang kesemuanya diletakkan di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dengan peruntukan sebanyak RM4.5 bilion," katanya.

Menurut Abang Johari, penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bukan tindakan yang akan memberikan pulangan serta merta dan akan mengambil jangka masa yang agak panjang kerana baharu ditubuhkan pada 2017.

Bahkan PETRONAS katanya, mengambil masa antara 20 hingga 30 tahun untuk mencapai status yang ada sekarang. 

"Justeru, perjalanan PETROS masih jauh untuk menjadi sebuah entiti Sarawak yang kukuh dan mampu berdaya saing," katanya.

GAMBAR:UKAS

Sumber dari : Jiwa Bakti